PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Malaysia akan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, sambil mengambil kira kepentingan diplomatik serta sensitiviti tempatan.
Menurut beliau, kerajaan masih di peringkat awal untuk membuat keputusan dan akan mengikuti proses yang ditetapkan sebelum memuktamadkan sebarang pelantikan perwakilan asing ke negara ini.
“Kita ikut proses, masih terlalu awal. Kerajaan tentunya akan memberikan pertimbangan. Dalam masa sama menjaga hubungan baik antara Malaysia dengan AS,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14, hari ini.
Pencalonan Adams, seorang penulis konservatif dan aktivis politik terkenal di AS telah mencetuskan reaksi kurang senang di kalangan masyarakat sivil dan parti politik tempatan.
Isnin lalu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyuarakan kebimbangan terhadap latar belakang dan kecenderungan politik Adams yang dilihat terlalu condong kepada fahaman ekstrem kanan.
Menurut Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin, retorik Adams yang dikaitkan dengan perpecahan kaum dan ideologi anti-imigran dianggap bercanggah dengan nilai kemajmukan, toleransi dan solidariti yang dipegang rakyat Malaysia.
“Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat berhak, seperti yang termaktub di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna, untuk menyuarakan kebimbangan atau menolak pencalonan mana-mana diplomat asing yang tidak selari dengan dasar luar serta sensitiviti tempatan,” ujar Arief.
Difahamkan pelantikan duta oleh mana-mana negara lazimnya memerlukan ‘agrément’ atau persetujuan rasmi daripada negara penerima.
Malaysia sebelum ini juga pernah menyuarakan bantahan terhadap pencalonan duta yang tidak memenuhi kriteria kesesuaian budaya dan diplomatik.
Anwar menyatakan bahawa walau apa pun keputusan akhirnya, diplomasi dan kepentingan negara tetap menjadi keutamaan utama.