ALOR GAJAH: Lelaki berusia 20 tahun yang dipercayai membunuh bayi perempuan berusia 15 bulan minggu lalu bakal didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Jumaat ini atas pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lelaki terbabit merupakan kekasih kepada ibu mangsa, yang juga dijadikan saksi utama dalam pendakwaan kes tersebut.
“Polis telah mendapat kebenaran daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk mendakwa suspek lelaki atas kesalahan membunuh.
“Manakala ibu kandung mangsa, wanita berusia 24 tahun, tidak didakwa dan akan dijadikan saksi utama bagi membantu kes pendakwaan,” katanya ketika dihubungi.
Kes tragis itu mengejutkan orang ramai apabila bayi malang tersebut, hasil perkahwinan wanita itu dengan bekas suami dipercayai menjadi mangsa dera hingga maut di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang.
Menurut laporan sebelum ini, mangsa dibawa ke Hospital Tampin dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 11 malam, 6 Julai lalu oleh pasangan berkenaan.
Namun, pemeriksaan perubatan mendapati bayi tersebut mengalami lebam di perut dan belakang badan serta kecederaan serius di bahagian dubur.
Laporan polis dibuat segera oleh pihak hospital sebelum pasangan terbabit ditahan dan direman selama tujuh hari bermula 7 Julai.
Hasil siasatan turut mendedahkan suspek lelaki bekerja di sebuah kedai pancing dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan aktiviti perjudian.
Manakala ibu mangsa yang kini menganggur tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini di Mahkamah Majistret Alor Gajah.