MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tertiarap dan dibedung di atas tilam sebuah taska di Padang Temu, semalam.
Kejadian menyayat hati itu disedari kira-kira jam 5 petang oleh seorang pengasuh taska berkenaan, selepas bayi tersebut ditidurkan kira-kira sejam sebelum itu.
Menurut sumber, pengasuh yang memantau bayi secara bergilir bersama rakan setugas terkejut apabila mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri, tertiarap dengan muka kebiru-biruan.
“Pengasuh segera membawa bayi itu kepada pengusaha taska sebelum dikejarkan ke Klinik Utama Ujong Pasir untuk rawatan kecemasan.
“Doktor cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit sementara menunggu ambulans,” kata sumber.
Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Zon Merah Hospital Melaka sekitar jam 6 petang namun disahkan meninggal dunia selepas usaha kedua memberikan CPR selama 30 minit turut gagal.
Hasil pemeriksaan awal pihak perubatan tidak menemui sebarang tanda kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh bayi terbabit.
“Pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” kata sumber itu lagi.