Remaja Didakwa Curi, Belanja Sakan Duit Datuk RM20,000

MELAKA: Seorang remaja lelaki berdepan tindakan undang-undang apabila didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik datuknya sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM20,000.

Tertuduh, Izhan Syahmi Izhar Shapawi, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Difahamkan, kad ATM berkenaan digunakan tertuduh untuk berjoli termasuk membeli alat ganti motosikal dan barangan kemas.

Mengikut kertas pertuduhan, Izhan Syahmi didakwa mencuri sekeping kad debit ATM Agrobank milik datuknya, Ahmad Jantan, 71, di sebuah rumah di Solok Setulang Daing, Bukit Rambai sekitar pukul 1.30 petang pada 30 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh dihukum penjara, denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan memandangkan ini adalah kesalahan pertama tertuduh yang masih muda.

Ibunya turut hadir sebagai penjamin.

Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Ogos depan.

BBerkaitan

Latest articles