Program eHATI: Wanita, Suami Akan Dipanggil Siasatan

KUALA KUBU BHARU: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menerima aduan rasmi berhubung program motivasi rumah tangga dikenali sebagai eHATI yang didakwa menyeleweng daripada ajaran Islam, dan akan memanggil pasangan suami isteri penganjur program tersebut untuk siasatan lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAIS akan segera memulakan siasatan dengan memanggil kedua-dua individu terlibat ke pejabat bahagian penguatkuasaan bagi merakam keterangan mereka.

“Saya tahu masyarakat bimbang dengan cara pembawaan (program ini) yang menggusarkan. Sebab itu saya minta Ketua Pengarah Jakim keluarkan kenyataan semalam bahawa Jakim telah mula bekerjasama dengan JAIS.

“Saya dimaklumkan JAIS sudah terima aduan rasmi dan akan memanggil pasangan tersebut untuk siasatan. Ini menunjukkan siasatan telah pun diambil,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM ke-33 di Dewan Muktamar, Darul Quran Jakim hari ini.

Terdahulu, media melaporkan satu program motivasi rumah tangga yang dikendalikan sepasang suami isteri didakwa mengandungi ajaran sesat, dengan sasaran kepada wanita berkerjaya yang menghadapi konflik rumah tangga.

Bekas peserta program itu dalam satu hantaran Facebook mendakwa ajaran tersebut berselindung di sebalik konsep keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi wanita, tetapi sebenarnya mengandungi ajaran batin menyeleweng serta menggunakan buku Hindu sebagai rujukan dalam sesi yang dijalankan melalui Telegram.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan semalam turut memberi jaminan bahawa Jakim akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan siasatan dijalankan secara terperinci.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menasihati orang ramai agar sentiasa membuat semakan dengan Pejabat Mufti negeri sebelum menyertai sebarang kursus atau program motivasi rumah tangga yang dianjurkan individu atau kumpulan tertentu.

“Tak salah nak cari motivasi atau jalan tenang selesaikan masalah rumah tangga. Tetapi rujuklah pada golongan agamawan, NGO atau Pejabat Mufti dulu.

“Kalau rasa ada yang tak betul sewaktu hadir kursus, cepat-cepatlah buat aduan. Jakim beri komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri supaya penyelewengan dapat dibendung,” katanya.

Beliau turut mengakui ramai pasangan yang sedang bergelut dengan masalah rumah tangga terdedah untuk mencari jalan singkat, lalu mudah terpengaruh dengan program yang menawarkan harapan, meskipun belum tentu kaedah yang digunakan itu selari dengan syariat Islam.

BBerkaitan

Latest articles