KUALA LUMPUR — Menara Kuala Lumpur akan disinari cahaya lampu berwarna biru pada 18 dan 19 Julai ini sebagai tanda sokongan kepada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, simbolik cahaya biru itu melambangkan semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia. “Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berterima kasih atas sokongan Menara Kuala Lumpur sebagai rakan strategik dalam mempromosikan sambutan tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., pengendali Menara Kuala Lumpur, Khairil Faizal Othman berkata, pihaknya menyokong penuh usaha kementerian dalam memperkukuh kesedaran tentang pentingnya perpaduan. “Dengan menerangi mercu tanda Kuala Lumpur, kami ingin menyampaikan mesej bahawa perpaduan adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya.
Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan adalah acara tahunan KPN yang bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan serta menghargai kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat Malaysia. Tahun ini, sambutan akan diadakan di Pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, dari 17 hingga 20 Julai.