Remaja Bawa Umur Antara Dua Yang Direman, Disyaki Samun, Rogol Penuntut IPTA

MUAR: Dua remaja termasuk seorang bawah umur direman selepas disyaki terlibat dalam kejadian samun dan rogol seorang penuntut wanita institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kelmarin.

Suspek berusia 19 tahun direman lima hari manakala rakannya, 17 tahun, direman tiga hari selepas Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan), sementara permohonan reman bagi siasatan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) akan dibuat dalam masa terdekat.

Menurut laporan polis, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa berusia 20 tahun membonceng motosikal bersama teman lelakinya, 23, melalui Jalan Kampung Jawa, Panchor.

Mereka tiba-tiba ditahan dua suspek yang menaiki motosikal.

Kedua-duanya melakukan ugutan dan meminta wang sebelum merampas beg tangan mangsa yang mengandungi RM250.

Tidak berpuas hati dengan jumlah tersebut, salah seorang suspek bertindak menumbuk muka teman lelaki mangsa hingga terjatuh.

“Suspek kemudian mengarahkan teman lelaki mangsa meninggalkan tempat kejadian dan membawa mangsa menaiki motosikal ke kawasan kebun sawit berhampiran,” kata sumber.

Di lokasi itu, mangsa dipercayai dirogol sebelum dihantar semula ke kampus oleh suspek.

Mangsa dan teman lelakinya membuat laporan di Balai Polis Panchor pada malam kejadian.

Susulan siasatan, polis berjaya menahan kedua-dua suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan akan disusuli siasatan di bawah Seksyen 376 kerana merogol.

BBerkaitan

Latest articles