Lelaki Pakistan Disyaki Liwat, Cabul Kanak-Kanak Ditahan Ketika Cuba Lari ke Negara Jiran

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai terbabit dalam kes liwat dan amang seksual terhadap beberapa kanak-kanak serta remaja lelaki berjaya diberkas polis di Kuala Nerang, Kedah, semalam ketika cuba melarikan diri ke negara jiran.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 25 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terkutuk tersebut terhadap empat mangsa berusia antara 9 hingga 19 tahun di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28 Shah Alam.

“Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam berjaya mengesan suspek di Durian Burung, Kuala Nerang sebelum dia sempat meloloskan diri keluar dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, turut ditahan seorang lagi lelaki warga Pakistan yang dipercayai berperanan membantu suspek utama menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa.

“Kedua-dua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 membabitkan dua kes, manakala dua lagi kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau keselamatan anak-anak dan tidak membenarkan mereka keluar bersendirian ke kawasan sunyi yang boleh mendedahkan mereka kepada jenayah.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini agar menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895.

BBerkaitan

Latest articles