AMPANG: Perselisihan faham berkenaan hutang berakhir dengan tragedi apabila seorang warga emas bersama anak lelakinya ditahan kerana disyaki membunuh rakan karib sendiri dalam kejadian di Taman Pandan Perdana, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata dua beranak masing-masing berusia 73 dan 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) dalam siri serbuan antara 26 hingga 28 Jun lalu.
Kejadian hanya terbongkar selepas pihak polis menerima panggilan daripada Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) memaklumkan kematian mangsa pada 22 Jun jam 7.16 malam di lokasi kejadian.
“Pada mulanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun bedah siasat keesokan hari di Unit Forensik Hospital Ampang mendedahkan wujud unsur jenayah.
“Susulan itu, kes disiasat semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 40-an yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, sebenarnya merupakan rakan karib kepada suspek warga emas.
“Motif dipercayai berpunca daripada isu hutang antara mangsa dan suspek,” ujar Mohd Azam.
Polis turut merampas sebatang rotan buluh dan playar boleh laras yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, selain tiada rekod jenayah lampau.
Mahkamah membenarkan permohonan reman suspek pertama selama 14 hari bermula 27 Jun hingga 10 Julai, manakala anaknya pula direman 13 hari bermula 29 Jun hingga 11 Julai bagi membantu siasatan.