KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang pemilik akaun TikTok membayar RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor selepas didapati memfitnah isteri bekas Perdana Menteri itu mengamalkan ilmu hitam, dalam satu video yang tular dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang memutuskan bayaran tersebut meliputi ganti rugi am dan ganti rugi teruk, dalam prosiding taksiran ganti rugi di sini.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tuntutan ganti rugi teladan kerana Rosmah gagal mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong permohonan tersebut.
Rosmah sebelum ini memfailkan saman menuntut RM1 juta terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, selepas lelaki itu memuat naik video pada 22 Mac 2023 yang didakwa memfitnah dan merosakkan reputasinya.
Pada 28 Mei 2024, Mahkamah Tinggi telah memberi penghakiman ingkar kepada Rosmah selepas defendan gagal memasukkan memorandum kehadiran bagi menjawab saman.
Dalam afidavit yang difailkan pada 10 Oktober 2024, Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu menjadi bualan hangat masyarakat, sehingga menjejaskan reputasinya sebagai figura awam dan penaung beberapa badan amal.
“Ekoran fitnah itu, saya alami gangguan emosi, kemurungan dan hilang keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai. Saya juga terpaksa memberi penjelasan berulang kali kepada orang ramai dan kenalan,” katanya.
Selain dakwaan ilmu hitam, video defendan turut memberi gambaran seolah-olah Rosmah gagal mempraktikkan nilai-nilai Islam.
Dalam saman asal, Rosmah berkata status sosial serta latar belakangnya sebagai isteri bekas Perdana Menteri menjadi asas permohonan ganti rugi tinggi, memandangkan reputasi yang terpalit boleh memberi kesan besar kepada imej peribadinya.