JITRA: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang malam tadi apabila enam beranak yang maut selepas kereta dinaiki mereka ditemui tenggelam di Sungai Korok, selamat dikebumikan kira-kira jam 11.50 malam.
Jenazah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka; Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7; dan si bongsu Tuah Haydar yang baru berusia enam bulan dikebumikan dalam satu liang lahad berhampiran pusara Jebat Haydar, kembar Tuah yang meninggal dunia Februari lalu.
Lebih 500 orang termasuk ahli keluarga, sahabat handai serta penduduk kampung hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Sebelumnya, solat jenazah diadakan di Masjid At Taqwa, Jerlun, sebelum kesemua jenazah dibawa ke tanah perkuburan menaiki lima van jenazah dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Tragedi menyayat hati ini turut meninggalkan kesan mendalam apabila anak sulung pasangan itu, Puteri Qisya Nur Izzat, 12, kini yatim piatu selepas terselamat kerana tidak ikut bermalam bersama keluarga di rumah ibu saudara mereka di Taman Seri Aman, Jitra malam sebelum kejadian.
Sebelum ini, seorang wanita membuat laporan polis selepas abang dan kakak iparnya bersama empat anak mereka gagal dihubungi sejak keluar rumah kira-kira 5.30 pagi Sabtu.
Namun, pencarian berakhir dengan episod tragis apabila keenam-enam mereka ditemui lemas dalam kereta Proton Iswara yang dipercayai terbabas sebelum tenggelam di Sungai Korok.