WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini mengumumkan bahawa Malaysia akan dikenakan tarif import sebanyak 25% bermula 1 Ogos akan datang.
Pengumuman itu dibuat Trump menerusi kenyataan rasmi di platform miliknya, Truth Social, dengan menegaskan bahawa langkah tersebut adalah sebahagian daripada strategi untuk melindungi kepentingan ekonomi domestik AS.
“Jika Malaysia mengenakan tarif tambahan ke atas produk Amerika, kami akan naikkan tarif kami lebih tinggi. Kami tidak akan berdiam diri,” katanya.
Selain Malaysia, Trump turut mengumumkan tarif 25% terhadap Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan.
Negara lain menerima kadar lebih tinggi, antaranya Afrika Selatan sebanyak 30% serta Laos & Myanmar sebanyak 40%.
Dalam kenyataan itu, Trump memaklumkan bahawa sebelum ini beliau telah menetapkan had maksimum tarif sebanyak 10% sehingga 9 Julai, bagi membuka ruang rundingan dengan negara terlibat.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaharu, beliau melanjutkan tarikh akhir rundingan ke 1 Ogos menerusi satu perintah eksekutif yang bakal ditandatangani dalam masa terdekat.
Setakat ini, hanya Britain dan Vietnam dilaporkan berjaya mencapai persetujuan awal dengan Washington untuk mengelakkan diri daripada dikenakan tarif baharu.
Langkah tarif ini dijangka memberi kesan kepada eksport Malaysia ke pasaran AS, terutamanya melibatkan sektor elektrik & elektronik, getah dan produk sawit.