Projek Digital NADI Pulau Banggi Rangkul Juara Dunia WSIS 2025

GENEVA: Malaysia mengukir nama di persada antarabangsa apabila Projek Inklusif Digital NADI Malaysia diumumkan sebagai juara Hadiah World Summit On The Information Society (WSIS) 2025 dalam satu majlis berprestij di Geneva, Switzerland.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kejayaan projek NADI Pulau Banggi ini adalah bukti nyata komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pendigitalan.

“Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini bagi pihak Malaysia. Projek NADI Pulau Banggi membuktikan bahawa tiada siapa pun akan dipinggirkan dalam era digital,” katanya selepas majlis penyampaian anjuran International Telecommunication Union (ITU) bersama agensi-agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Projek NADI Pulau Banggi di Sabah meraih kemenangan dalam kategori C4: Capacity Building, hasil kejayaan membawa latihan kemahiran digital serta peluang ekonomi kepada komuniti terpencil.

Pulau Banggi yang terletak lebih 70 kilometer dari Kudat sebelum ini berdepan cabaran besar untuk mengakses pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Namun menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pusat digital komuniti NADI berjaya menyediakan internet berkelajuan tinggi dan latihan ICT kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Hasilnya, belia memperoleh kemahiran digital, wanita tempatan memulakan perniagaan dalam talian dan usahawan kecil mampu meluaskan pasaran mereka ke luar kawasan,” menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Projek ini juga diiktiraf sebagai antara projek transformasi digital paling memberi impak dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Kejayaan itu menjadi pemangkin kepada peluasan program NADI ke lokasi lain seperti Pulau Mandi Darah, dengan sasaran capaian ke seluruh negara menjelang 2035.

Dalam masa sama, Projek Stingray II Pulau Ketam turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila muncul pemenang kategori C2: Information and Communication Infrastructure.

Projek ini berjaya menyediakan sambungan gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer dari Kapar ke Pulau Ketam, membolehkan pelajar mengikuti kelas secara dalam talian, keluarga mengakses teleperubatan dan perusahaan kecil berkembang secara digital.

Kemenangan dua anugerah WSIS ini sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara negara peneraju dalam usaha menutup jurang digital di dunia.

“Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan tiada rakyat yang tertinggal dalam arus pendigitalan,” tegas Fahmi.

BBerkaitan

Latest articles