SUNGAI PETANI: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes rogol, meminta suapan dan habuan seks daripada individu yang terlibat dalam siasatan dikendalikannya.
Pegawai berusia 29 tahun yang masih bujang itu, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, ditahan susulan dua laporan polis yang dibuat pada 3 dan 4 Julai lalu, termasuk satu aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai penyiasat untuk memaksa individu terlibat memberikan layanan seksual.
“Kes ini masih dalam siasatan. Kita turut bekerjasama dengan SPRM dalam menyiasat kemungkinan pelanggaran disiplin dan salah guna kuasa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Menurut Hanyan, polis sedang menyiasat dua sudut utama iaitu sama ada pegawai terbabit menyalahgunakan kuasa untuk memaksa mangsa melakukan hubungan seksual, atau berlaku perlakuan seks tanpa kerelaan mangsa.
“Kita syak pegawai berkenaan mungkin guna kuasa dan pengaruhnya untuk mendapatkan habuan seks daripada mangsa,” katanya.
Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Selepas tempoh reman, pegawai terbabit akan diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut berhubung elemen rasuah dalam kes berkenaan.
Dalam pada itu, Hanyan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tindakan melanggar undang-undang dan etika profesion.