ALOR GAJAH: Seorang wanita bersama teman lelakinya direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan tragis seorang bayi perempuan berusia 15 bulan yang dipercayai maut akibat didera di sebuah premis di Bandar Satelit, Pulau Sebang, malam tadi.
Perintah reman sehingga 13 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek wanita, seorang penganggur berusia 24 tahun, serta teman lelakinya yang bekerja di sebuah kedai pancing berusia 20 tahun.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira jam 9.10 pagi dengan kawalan ketat polis, sebelum dibawa keluar sejam kemudian.
Kes menyayat hati ini terbongkar kira-kira pukul 11 malam apabila Hospital Tampin menerima bayi tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri, dihantar sendiri oleh ibu kandung mangsa bersama teman lelakinya.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan lebam pada perut dan belakang badan bayi, selain kecederaan serius pada bahagian dubur yang menimbulkan syak berlaku penderaan seksual sebelum laporan polis dibuat.
“Siasatan awal mendapati ibu mangsa membawa anak tunggalnya itu dari Kampung Anak Air Durian Daun, Tampin ke tempat kerja teman lelakinya di Bandar Satelit kira-kira jam 6.30 petang semalam.
“Wanita itu kemudian keluar membeli makanan, meninggalkan bayi berkenaan bersama kekasihnya di kedai,” katanya.
Difahamkan sebaik kembali ke kedai, wanita tersebut mendakwa bayinya sudah ditidurkan sekitar jam 10 malam sementara teman lelakinya menguruskan premis.
Namun kira-kira setengah jam kemudian, ketika mahu pulang ke rumah mereka di Tampin, bayi itu tidak memberikan sebarang respons.
“Wanita itu bersama teman lelakinya segera membawa bayi ke Hospital Tampin sekitar jam 11 malam, namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas menerima rawatan,” katanya lagi.
Mayat bayi itu kini berada di Unit Forensik Hospital Tampin untuk proses bedah siasat.
Susulan kejadian, polis menahan kedua-dua suspek awal pagi tadi dalam dua serbuan berasingan.
Siasatan juga mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes judi, manakala wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dihukum mati mandatori.