Enam Beranak Ditemukan Maut Kereta Tenggelam Di Sungai Korok

ALOR SETAR: Hasrat seorang keluarga untuk pulang ke rumah selepas bermalam bertukar tragedi apabila enam beranak ditemukan maut dalam sebuah kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, hari ini.

Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri, Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, isterinya, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga sembilan tahun.

Difahamkan, anak sulung pasangan itu yang berusia 12 tahun terselamat kerana tidak ikut bermalam dan berada di rumah neneknya di Jerlun.

Ketika ini, operasi mengeluarkan mayat sedang dijalankan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Jitra dengan suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila ahli keluarga dilihat menangis teresak-esak sebaik jasad mangsa diangkat seorang demi seorang.

Kehilangan enam beranak ini sebelum ini menjadi tanda tanya apabila adik mangsa, Nur Adliah Shuhada Ishak, 20-an, membuat laporan polis selepas abang, kakak ipar serta empat anak saudara mereka gagal dihubungi sejak Sabtu lalu.

“Biasanya abang akan pulang awal pagi untuk masuk kerja. Tapi pagi itu, saya lihat rumah kosong jam 5.30 pagi. Saya sangka mereka dah balik ke Jerlun,” kata Nur Adliah dalam nada sebak.

Namun kegusaran mula bertukar cemas apabila ibu mentua Mohd Azim memaklumkan keluarga itu tidak pulang ke rumah di Jerlun.

“Abang tidak pernah gagal dikesan sebelum ini. Malah malam terakhir itu kami bersembang macam biasa. Tidak pula mereka ceritakan ada masalah,” katanya.

Pagi semalam, Nur Adliah menerima panggilan memaklumkan sebuah kereta ditemui dalam Sungai Korok, namun nombor pendaftarannya berbeza.

Namun hari ini, misteri terungkai apabila kenderaan sebenar keluarga itu akhirnya dijumpai dalam sungai tersebut.

Semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat.

Polis dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai punca sebenar kejadian selepas siasatan selesai.

BBerkaitan

Latest articles