RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dunia tidak boleh terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran, sambil menggesa BRICS tampil sebagai suara keadilan sejagat.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Brazil, yang memberi fokus kepada pengukuhan multilateralisme, reformasi sistem ekonomi dan kewangan global serta tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika.
“Dalam sesi intervensi, saya tegaskan pendirian Malaysia bahawa masa depan dunia tidak harus dibelenggu pertembungan blok atau perpecahan geopolitik.
“Sebaliknya, ia perlu dibentuk melalui semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen kolektif untuk masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Setakat 3 Julai 2025, hampir 58,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam perang di Gaza, angka yang menurut Anwar menuntut pembelaan segera masyarakat antarabangsa.
Sementara itu, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dalam sesi Pentadbiran Global, Keamanan dan Keselamatan turut menegaskan tiada alasan untuk serangan ganas Hamas.
Namun katanya, dunia juga tidak boleh menutup mata terhadap tindakan kejam Israel di Gaza.
“Kita tidak boleh terus tidak peduli terhadap pembunuhan beramai-ramai oleh Israel, pembunuhan sewenang-wenangnya orang awam dan penggunaan kelaparan sebagai senjata perang,” katanya.
Lula menegaskan hanya dengan menamatkan pendudukan Israel dan menubuhkan negara Palestin berdaulat dalam sempadan 1967, konflik itu dapat diselesaikan.
Dalam pada itu, Brazil turut mengecam pencabulan integriti wilayah Iran serta mendesak dialog segera ke arah gencatan senjata dalam perang Ukraine.
Beliau berkata kejayaan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Timur menjadi bukti bagaimana dialog dan diplomasi mampu membawa keamanan serta kestabilan jangka panjang.