Hati-Hati Beli Lembu Murah, Mungkin ‘Keldai Dadah’ – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada apabila membeli lembu atau kambing yang dijual pada harga terlalu murah, khususnya di negeri bersempadan dengan Thailand, bagi mengelak secara tidak sedar menyokong aktiviti jenayah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, amaran itu susulan pendedahan kes penyeludupan dadah yang disorokkan dalam timbunan tahi lembu baru-baru ini.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan harga daging lembu yang jauh lebih murah daripada pasaran menjadi petunjuk awal kepada kegiatan yang mencurigakan.

“Laporan awal yang saya terima beberapa bulan lalu memaklumkan lebih 80,000 ekor lembu telah diseludup masuk ke negara ini.

“Ini bukan saja ancaman kepada pendapatan penternak tempatan, malah membahayakan keseluruhan industri ternakan negara,” katanya.

Tambah beliau, lembu yang diseludup masuk tidak melalui proses kuarantin atau pemeriksaan kesihatan, sekali gus berisiko membawa penyakit berjangkit yang boleh menular kepada ternakan tempatan.

“Lebih malang, ada pula lembu ini dijadikan ‘keldai dadah’. Inilah realiti yang kita sedang hadapi. Jangan kerana nak jimat RM10, kita tanpa sedar menyokong aktiviti jenayah yang boleh merosakkan negara,” katanya.

Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membongkar kes ini dan menahan individu yang terlibat.

Beliau menegaskan, kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap dua perkara iaitu dadah yang merosakkan generasi muda, serta penyeludupan haiwan yang mengancam keselamatan makanan negara.

“Kedua-duanya mesti kita tentang habis-habisan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad turut menyuarakan keyakinan bahawa pelantikan Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan memperkukuhkan usaha membanteras penyeludupan di sempadan.

“Pengalaman dan ketegasan beliau dalam bidang keselamatan adalah aset penting bagi menyekat kegiatan haram yang menjejaskan keselamatan makanan negara serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles