JKM Sedia Ambil Alih Penjagaan Mangsa Rogol Kekasih Ibu

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengambil tanggungjawab menjaga sementara seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang menjadi mangsa rogol teman lelaki ibunya, sekiranya tiada ahli keluarga yang sesuai atau mampu untuk memeliharanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata langkah ini penting bagi memastikan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak itu terjamin.

“Selain perlindungan fizikal, mangsa juga berhak menerima sokongan psikososial yang diperlukan untuk proses pemulihan emosi dan mental,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy menegaskan kes seperti ini amat membimbangkan dan tidak boleh dikompromi dalam masyarakat yang menghargai keselamatan serta maruah kanak-kanak.

“Saya ingin menyeru orang ramai agar terus peka dengan isu penderaan kanak-kanak dan tidak berdiam diri. Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Talian Kasih 15999 atau mana-mana pejabat JKM terdekat,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Nancy berkata kementerian akan terus memperkukuh usaha pencegahan, pemulihan dan perlindungan demi kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.

Terdahulu, kes tersebut mendapat perhatian ramai selepas seorang peniaga nasi lemak berusia 61 tahun bersama teman wanitanya yang juga ibu mangsa, 37 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini.

Kedua-duanya didakwa atas tuduhan bersubahat sehingga mendorong lelaki tersebut merogol anak perempuan wanita itu tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

BBerkaitan

Latest articles