Komposer Ditahan Pukul Rakan Serumah Akibat Perselisihan Mengenai Bunyi Bising

AMPANG — Seorang komposer muzik yang juga pemain gitar ditahan polis selepas disyaki memukul rakan serumahnya dengan batang besi dalam satu insiden yang dipercayai berpunca daripada pertelingkahan mengenai bunyi bising.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata kejadian berlaku di sebuah kediaman di Pandan Indah, melibatkan mangsa berusia 52 tahun yang bekerja sebagai tukang masak.

Siasatan awal mendapati punca perselisihan adalah bunyi bising daripada alat muzik yang dimainkan suspek, 46 tahun, yang didakwa sering mengganggu waktu rehat mangsa. Teguran berulang kali oleh mangsa sebelum ini tidak diendahkan.

Dalam laporan polis bertarikh 30 Jun, mangsa mendakwa terjaga daripada tidur sekitar jam 6.30 pagi selepas terdengar bunyi pintu bilik air dihempas dengan kuat. Mangsa kemudian bertindak keluar dari biliknya dan menghempas semula pintu tersebut.

“Tidak lama kemudian, suspek yang merupakan jiran sebelah bilik pengadu, keluar bersama sebatang besi dan terus memukul mangsa,” kata Mohd Azam dalam kenyataan hari ini.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan dan turut mendakwa suspek mengugut mahu membawa rakan untuk memukulnya.

Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menahan suspek pada jam 4.45 petang kelmarin. Polis turut merampas sebatang pemegang gitar berwarna hitam sebagai barang bukti.

Suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil. Semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan keputusan ujian air kencing juga negatif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata, dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.

BBerkaitan

Latest articles