ROME: Malaysia berhasrat membeli pesawat pemantau maritim, helikopter dan kapal laut daripada Itali bagi memperkukuh keselamatan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembelian itu akan meliputi dua pesawat pemantau maritim (Maritime Patrol Aircraft) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia selain 28 helikopter Leonardo AW149.
Beliau berkata syarikat Fincantieri pula dijangka membekalkan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (Multi-Role Support Ship) (MRSS) dan kapal peronda pesisir pantai (Littoral Mission Ship) (LMS).
“Pembelian aset tentera ini akan membantu mengukuhkan hubungan sedia ada dengan Itali yang terkenal dengan industri ketenteraan,” katanya pada sidang media pada akhir kunjungan tiga hari ke Itali.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut hadir dalam rangka lawatan itu berkata pembelian itu akan diperincikan agar Malaysia turut mendapat manfaat dari segi pemusatan latihan dan sebagainya.
Mohamed Khaled berkata pada peringkat awal, penerbangan pesawat maritim itu dijangka menggunakan lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.
Menurut beliau, Malaysia juga telah mencadangkan agar pembelian aset-aset itu dilakukan melalui perjanjian perolehan kerajaan kepada kerajaan (G to G).
“Ini akan membantu kita mendapatkan harga yang lebih baik dan jaminan aset daripada kerajaan Itali,” katanya.
Kementerian Pertahanan juga mencadangkan agar kedua-dua negara menerokai bidang baharu dalam sektor pertahanan antaranya kecerdasan buatan (AI) dan pusat kawalan keselamatan bawah laut.
Anwar yang tiba di sini pada Selasa membuat kunjungan sulung ke Itali atas jemputan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.
Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil akan berlepas ke Paris selepas ini dan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa lawatan dua hari ke sana.
Seterusnya, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva. – BERNAMA