BALING: Seorang remaja perempuan berdepan titik hitam dirogol bapa tiri dan abang kandungnya sendiri, malah lebih menyedihkan ibunya sendiri merahsiakan perbuatan berkenaan dari diketahui orang ramai.
Sehubungan itu, bapa tirinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Baling semalam atas pelbagai kesalahan termasuk merogol.
Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Dia dituduh merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Tanjung Merbau, Pulai, di sini, kira-kira jam 4 petang, 24 Jun lalu.
Tertuduh, 49, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang perempuan yang mempunyai pertalian yang dilarang di sisi undang-undang, hukum agama dan adat.
Memetik Berita Harian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang daripada 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Masniah Dolah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan mangsa.
Pengawal keselamatan itu turut berdepan pertuduhan berasingan kerana memiliki bahan lucah.
Dia didakwa memiliki bahan lucah iaitu gambar dan video dalam telefon bimbit di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada jam 3.40 petang, 27 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan mahkamah menjatuhkan hukuman 15 bulan penjara bermula tarikh tangkapan.
Dalam prosiding sama, abang kandung mangsa yang berusia 17 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan merogol adiknya di rumah sama kira-kira jam 10 pagi pada 15 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim menetapkan 30 Oktober ini untuk serahan laporan akhlak dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000.
Mengikut fakta kes, mangsa dirogol oleh bapa tiri dan abang kandungnya sejak berusia 11 tahun.
Sementara itu, ibu kandung mangsa, 45, turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan gagal melaporkan jenayah seksual terhadap anaknya kepada pihak polis.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai kesalahan seksual berlaku terhadap anak perempuannya, namun gagal membuat laporan kepada mana-mana pegawai polis.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 10 pagi, 24 Julai tahun lalu di sebuah sekolah menengah di Jalan Baling.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan.
Wanita itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan didenda RM2,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.