PUNCAK ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan semua aset luar negara milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin, keluarganya serta proksi sebagai satu bentuk penderaan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika benar Daim melakukan kesalahan, pihak berkuasa seharusnya membawa kes itu ke mahkamah dan membuktikannya, bukan terus mengambil langkah drastik membekukan harta.
“Apa kesalahan Tun Daim? Dia curikah? Ada bukti kalau dia mencuri? Kalau ada, dakwalah dalam mahkamah. Ini tak ada tindakan dakwaan, tiba-tiba beku semua aset, rumah dan hartanya macam satu penderaan terhadap dia dan sekarang isterinya pula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MAHA Klinik, hari ini.
Beliau mengulas langkah SPRM yang dilapor akan membekukan aset dan harta Allahyarham Daim bernilai sekurang-kurangnya RM4.5 bilion yang berada di lima negara selain United Kingdom (UK).
Menurut sumber, langkah itu diambil selepas SPRM mendapati aset berkenaan gagal diisytiharkan dalam siasatan terhadap pemimpin politik tersebut.
Difahamkan aset bernilai tinggi itu melibatkan kepentingan komersial di Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Itali dan Jersey, sebuah negara pulau di Selat Inggeris berhampiran pesisir Normandy, Perancis.