KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan tindakan menghalau seorang jemaah warga emas yang sedang beriktikaf di sebuah surau baru-baru ini adalah tidak wajar serta bertentangan dengan semangat rahmah, adab dan ihsan yang menjadi tunjang pengurusan rumah ibadah dalam Islam.
Menurutnya, surau dan masjid adalah rumah Allah SWT, tempat berlindung jiwa, menenangkan hati dan mendekatkan diri kepada-Nya, bukannya ruang eksklusif yang dikawal tanpa pertimbangan atau hikmah.
“Amalan beriktikaf, membaca al-Quran dan menunggu waktu solat Duha adalah satu ibadah yang mulia, malah sangat digalakkan dalam Islam.
“Saya menyeru semua pihak agar mengamalkan pendekatan penuh hikmah, lemah lembut dan menghormati para jemaah, khususnya warga emas yang tekun beribadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada video yang tular di media sosial sejak semalam, memaparkan seorang warga emas dihalau ketika beriktikaf di Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, Selangor.
Insiden berkenaan menimbulkan reaksi pelbagai pihak yang rata-rata kecewa melihat layanan sebegitu dalam rumah Allah.
Mohd Na’im mengingatkan bahawa apa sahaja tindakan berkaitan keselamatan atau pengurusan rumah ibadah mestilah dilakukan dengan adab, komunikasi berhemah dan tanpa mengaibkan mana-mana pihak.
“Menjaga rumah Allah SWT bukan hanya menjaga bangunannya, tetapi lebih utama menjaga suasana spiritual, akhlak dan keharmonian di dalamnya.
“Islam mengajar kita ‘rahmatan lil ‘alamin’, dan tiada tempat yang lebih patut mencerminkan kasih sayang ini selain daripada rumah-rumah Allah,” tegas beliau.
Mohd Na’im menyeru agar semua pihak memperbetul keadaan ini dengan semangat islah (pembaikan) dan saling memaafkan supaya maruah serta kehormatan rumah Allah terpelihara, manakala para jemaah terus merasa selamat dan dialu-alukan.
“Kita jaga surau, tapi jangan sampai lupa jaga adab dan hati manusia,” ujarnya.