Tiga Rakan Ditahan Kurang 48 Jam Selepas Kejadian Bunuh Pelajar IPTS

SEPANG: Tiga individu yang dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan mangsa bunuh di sebuah asrama universiti swasta di Cyberjaya telah ditahan polis dalam satu operasi khas.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman memaklumkan bahawa dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 19 hingga 20 tahun telah diberkas kurang daripada 48 jam selepas laporan dibuat mengenai kejadian tersebut.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai kenalan mangsa dan ditahan di sekitar Johor Bahru dan Gemencheh, Negeri Sembilan dalam operasi bersepadu bersama pasukan dari Bukit Aman, IPK Selangor serta IPD Sepang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi tangkapan bermula seawal jam 9 pagi Khamis dan berakhir sekitar jam 2 pagi Jumaat.

Ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang pagi ini bagi mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.

Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat hentakan kuat, namun tiada sebarang kesan atau bukti menunjukkan unsur serangan seksual.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat lanjut bagi mengenal pasti punca kematian secara rasmi.

Dalam pada itu, pihak polis mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan dan emosi keluarga mangsa.

“Kami mohon kerjasama masyarakat untuk tidak menokok tambah cerita atau menyebarkan perkara yang belum disahkan. Biarkan siasatan berjalan secara profesional,” tegas Norhizam.

Kes ini tular selepas seorang pelajar wanita berusia 20 tahun yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi ditemui mati dalam bilik asrama kampusnya.

Mangsa difahamkan tinggal bersendirian ketika kejadian kerana rakan sebilik pulang bercuti.

BBerkaitan

Latest articles