Jangan Politikkan Agama, Islamkan Politik Demi Negara

KUALA LUMPUR: “Jangan politikkan Islam, sebaliknya Islamkan politik.”

Demikian peringatan tegas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kepada para pemimpin dan rakyat Malaysia sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Dalam titah yang sama baginda menyeru agar semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak membakar api perkauman atau keagamaan demi kepentingan sempit yang boleh mengancam keharmonian negara.

“Perpaduan negara ini telah dibina atas dasar Perlembagaan yang menjunjung nilai keadilan, tanggungjawab dan muafakat. Jangan sesekali memecah belah rakyat atas nama kaum atau agama,” titah baginda.

Sultan Ibrahim menegaskan bahawa pentadbiran negara mestilah berlandaskan prinsip Islam dan bukannya terpengaruh dengan fahaman sekular atau liberal yang menyimpang daripada nilai agama.

“Urus tadbir kerajaan mesti berlandaskan syariat Islam, bukan sekadar slogan atau retorik politik. Pentas dakwah dan medan agama tidak wajar digunakan untuk agenda politik kepartian,” tegas baginda.

Baginda juga memberi peringatan keras kepada mana-mana pihak agar tidak menunggang agama untuk menyebarkan fitnah, kebencian atau perpecahan dalam masyarakat.

“Islam adalah agama yang lengkap dan membawa kepada perdamaian serta persaudaraan. Jangan sesekali gunakan agama untuk memecahbelahkan umat,” titah baginda lagi.

Menyentuh semangat Maal Hijrah, Sultan Ibrahim mengajak umat Islam meneladani perjuangan Rasulullah SAW yang berjaya menyatukan masyarakat majmuk di Madinah walaupun berbeza bangsa dan agama.

“Peristiwa hijrah bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi permulaan tamadun Islam yang menekankan perpaduan, pentadbiran berteraskan akhlak dan keadilan,” titah baginda.

Turut hadir pada majlis itu ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

BBerkaitan

Latest articles