Asyraf Mahu 6 Pelajar MRSM Besut Dibuang Sekolah Kerana Buli

KUALA LUMPUR: Enam pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Besut, Terengganu telah diarahlan dibuang sekolah selepas didapati terbabit dalam kes buli fizikal terhadap seorang pelajar tingkatan dua.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi satu hantaran tegas di Facebook malam tadi.

“Semua enam pelajar MRSM di Terengganu yang didapati membuli secara fizikal telah diarahkan dibuang daripada maktab. Tiada kompromi atas apa jua alasan. #YouTouchYouGo,” tegas beliau.

Menurut siasatan awal polis, mangsa berusia 14 tahun mendakwa telah dibuli oleh beberapa pelajar senior dalam kejadian di asrama putera MRSM tersebut pada malam Selasa lalu.

Mangsa mendakwa diarahkan untuk duduk dalam keadaan separa mencangkung dengan selipar di atas kepala selama lebih 40 minit, sekitar jam 11.30 malam.

Lebih menyedihkan, mangsa turut ditumbuk di perut dan ditampar di muka dalam insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, mengesahkan bahawa lima pelajar tingkatan tiga telah dikenal pasti sebagai suspek utama dan pihaknya akan membuat permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

Kes ini mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial, yang menuntut tindakan tegas terhadap budaya buli yang dikatakan masih berakar dalam institusi pendidikan.

Kenyataan Asyraf Wajdi memperkukuh komitmen MARA untuk memastikan MRSM kekal sebagai persekitaran yang selamat, berdisiplin dan kondusif untuk semua pelajar.

“Tindakan ini diambil demi memberi mesej jelas bahawa budaya buli tidak akan diterima sama sekali dalam sistem pendidikan MARA,” ujar beliau dalam hantaran tersebut.

Polis turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan kemungkinan turut melibatkan peruntukan undang-undang lain bergantung kepada hasil siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles