PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan Kota MADANI di Presint 19 dijadikan contoh teladan bagi pelaksanaan pembangunan bandar di seluruh negara.
Beliau berkata, pembangunan itu tidak seharusnya ditentukan sepenuhnya oleh pemaju semata-mata, sebaliknya perlu dirancang menerusi pendekatan menyeluruh yang menekankan aspek kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan juga perlu berhenti bergantung sepenuhnya kepada cadangan pemaju, sebaliknya memainkan peranan utama dalam merancang pembangunan bandar yang menitikberatkan elemen budaya, nilai kemanusiaan dan kualiti hidup.
“Jangan hanya tunduk kepada pemaju. Kitalah yang sepatutnya merancang, manakala pemaju hanya berperanan memberi pandangan untuk penambahbaikan.
“Jangan biarkan sesuatu projek ditentukan sepenuhnya oleh syarikat pemaju, kerana lazimnya mereka hanya memberi saranan berdasarkan kepentingan keuntungan semata-mata,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19, hari ini. – Bernama