PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan polis berhubung kes kematian seorang pelajar wanita universiti swasta di Cyberjaya yang disiasat sebagai kes bunuh.
Dalam satu kenyataan hari ini, KPT menegaskan bahawa laporan itu penting bagi memastikan tahap keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terjamin di institusi pengajian tinggi.
“KPT komited untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan setiap IPT kekal sebagai persekitaran yang selamat, kondusif dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan pelajar,” menurut kenyataan itu.
Mangsa, seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi berusia 20 tahun dari Kuching, Sarawak, ditemui tidak sedarkan diri di bilik asrama sekitar jam 10 pagi kelmarin.
Difahamkan, beliau tinggal bersendirian sejak 21 Jun selepas lima rakan sebilik pulang bercuti.
Mangsa dikatakan masih berada di asrama kerana akan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat.
Sebagai langkah berjaga-jaga, KPT turut mengingatkan semua Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) agar sentiasa mematuhi SOP keselamatan yang telah ditetapkan masing-masing.
“Kami menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti pihak terlibat,” kata kenyataan itu.
KPT turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menzahirkan rasa dukacita atas kejadian tersebut.