CYBERJAYA: Polis mengesahkan punca kematian seorang pelajar wanita universiti swasta di Cyberjaya kelmarin adalah akibat hentakan kuat di kepala, dan kes kini disiasat sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata pelajar berusia 20 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri oleh seorang rakan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati terdapat kecederaan ketara di bahagian kepala mangsa. Namun, tiada kesan pecah masuk ditemui di unit kediaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dan difahamkan tinggal bersendirian di bilik asrama sejak 21 Jun lalu kerana bakal menghadapi peperiksaan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
“Tiada kecederaan yang menunjukkan unsur rogol. Kes disiasat sebagai kes bunuh,” jelas Norhizam.
Polis kini sedang giat menjalankan siasatan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Husny Hussien di talian 012-930 7860 atau hadir ke balai polis terdekat.
Norhizam turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.