KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru supaya lebih peka terhadap bahaya sebenar dalam era digital, yang bukan hanya bimbang terhadap pengumpulan data oleh kerajaan, tetapi juga terhadap gergasi teknologi global yang tanpa henti “menuai” maklumat peribadi untuk keuntungan komersial.
Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Selvakumar Manickam, berkata sebanyak 25.1 juta pengguna media sosial dicatat di Malaysia setakat 1 Januari 2025, menjadikan rakyat negara ini antara yang paling aktif di rantau ini.
“Ramai pengguna secara sukarela berkongsi maklumat peribadi berlebihan seperti lokasi, rutin harian, maklumat anak, malah perancangan percutian tanpa sedar ia dimanipulasi untuk tujuan komersial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Selvakumar menegaskan, konsep perkhidmatan digital percuma adalah mitos.
“Setiap kali kita muat turun aplikasi atau guna media sosial secara percuma, sebenarnya kita menukar maklumat peribadi dengan perkhidmatan itu. Data seperti tabiat melayari, lokasi, peranti dan juga senarai kenalan digunakan untuk membina profil pengguna,” jelasnya.
Beliau juga mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang begitu kritikal terhadap usaha kerajaan dalam pembangunan sistem digital nasional tetapi diam terhadap tindakan syarikat seperti Meta, ByteDance atau Google.
“Isu Cambridge Analytica dahulu membuktikan bahawa data pengguna boleh dimanipulasi secara besar-besaran untuk tujuan politik. Ironinya, pengguna tetap tidak membaca terma dan syarat, lalu bersetuju dengan pengumpulan data tanpa sedar,” katanya lagi.
Mengulas keperluan data dalam konteks keselamatan, beliau menyatakan bahawa data pengguna amat penting untuk membantu mencegah penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah digital.
Namun begitu, Dr. Selvakumar turut menekankan pentingnya pengawasan ketat oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar data rakyat dikendalikan secara telus dan selamat mengikut piawaian antarabangsa.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru rakyat Malaysia agar memberi sokongan kepada inisiatif kerajaan yang bertujuan mempertingkat keselamatan dan kemudahan digital rakyat, selagi ia dikendalikan secara bertanggungjawab.
“Adakah keselamatan rakyat Malaysia dalam dunia siber tidak lebih penting daripada dakwaan privasi yang belum dibuktikan?” soalnya.