Kerajaan Mesyaratkan Projek Rumah Baharu Di KL Guna Tenaga Solar

KUALA LUMPUR: Semua projek perumahan baharu di ibu negara disyaratkan menggunakan tenaga solar sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat peralihan tenaga hijau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu diumumkan semasa pelancaran Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) hari ini.

“Rumah-rumah baharu mesti menggunakan solar sebagai syarat baharu… ini tidak ada dalam peraturan sebelumnya,” katanya dalam ucapan peluncuran pelan itu.

Anwar berkata, penggunaan solar bukan sahaja memenuhi keperluan masa depan dari segi tenaga bersih, tetapi turut menjadi sebahagian daripada pilihan seharian rakyat demi kelestarian jangka panjang.

“Saya percaya rakyat akan pastikan langkah ini menjadi budaya kelestarian dalam kehidupan seharian,” tegas beliau.

PTKL 2040 dirangka semula selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19, dengan pendekatan yang lebih menyeluruh melibatkan kemajuan teknologi digital dan nilai kemanusiaan seperti yang digariskan di bawah konsep Malaysia Madani.

Anwar menegaskan bahawa pembangunan bandar tidak seharusnya hanya memihak kepada golongan berada, sebaliknya mesti menjangkau golongan B40 dan M40 yang merupakan majoriti penduduk bandar.

“Selalunya pembangunan bandar itu meletakkan pembangunan rakyat hanya satu kelompok, terasing… kini ia perlu lebih terangkum dan berasaskan nilai manusiawi,” jelas Anwar.

Perdana Menteri turut menggesa pihak korporat dan pemaju utama untuk memahami dan mendukung pendekatan baharu ini, bukan hanya menyerahkan tanggungjawab kepada kerajaan dan pegawai perancang bandar semata-mata.

“Saya percaya bukan sahaja pimpinan politik, tetapi korporat dan pengusaha juga perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan pembangunan Kuala Lumpur lebih inklusif dan berdaya huni,” katanya.

Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 ialah dokumen perancangan penting yang menetapkan hala tuju pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi bandar raya Kuala Lumpur hingga tahun 2040.

Ia mengambil kira pembangunan perumahan mampan, kemudahan awam inklusif, pendekatan hijau dan digital dan rangka kerja manusiawi berteraskan prinsip Malaysia Madani

BBerkaitan

Latest articles