SHAH ALAM: Akhbar Sinar Harian mengambil tindakan tegas dengan menggantung tugas kakitangan dan penyelia Unit Media Sosial berhubung penyiaran infografik yang mengandungi maklumat tidak tepat mengenai latar belakang Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, organisasi media itu juga memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung insiden terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan jika perlu.
“Pihak kami mengakui berlaku kesilapan dalam penyiaran infografik tersebut dan sekali lagi memohon maaf kepada Ketua Polis Negara, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh masyarakat atas kekhilafan ini,” jelas kenyataan itu.
Menurut Sinar Harian, siasatan awal mendapati kesilapan berlaku apabila seorang staf menggunakan template reka bentuk lama, yang sebelum ini digunakan untuk poster melibatkan Tan Sri Johari Abdul, lalu tersalah letak maklumat pada infografik baharu.
Siasatan dalaman sedang dijalankan untuk meneliti kemungkinan berlaku unsur sabotaj dalam kejadian memalukan ini, yang telah menjejaskan kredibiliti organisasi serta mengundang kekeliruan awam.
Terdahulu, infografik tular itu mencetuskan kecaman kerana mendakwa Mohd Khalid pernah menyandang jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dakwaan tersebut dinafikan tegas oleh Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, yang menegaskan bahawa Ketua Polis Negara ke-15 itu tidak pernah menjadi ahli apatah lagi memegang jawatan dalam parti tersebut.
Pihak PDRM turut mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan sebarang pembabitan politik Mohd Khalid, dan menyifatkan laporan media itu sebagai tidak beretika, mengelirukan dan merosakkan reputasi pasukan keselamatan.
Sinar Harian menegaskan mereka memandang serius insiden itu dan akan memperkemas prosedur editorial serta kawalan kualiti bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
“Kami akan terus melakukan penambahbaikan dalam aspek editorial, bagi memastikan ketepatan maklumat dan mengekalkan kredibiliti kami sebagai sebuah organisasi media bertanggungjawab.”