IPOH: Ibu mentua kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, maut dalam satu kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Sungai Rapat Tambahan, malam tadi.
Mangsa, Salmiah Nyak Matt, 84, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik tingkat bawah rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan penyelamat.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, kebakaran itu turut menyebabkan suami mangsa, Abdul Ghani Ngah, 83, mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
“Panggilan kecemasan diterima pada jam 9.19 malam dan jentera pertama tiba kira-kira tujuh minit kemudian. Api telah memusnahkan hampir 80 peratus ruang bilik di bahagian bawah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Empat lagi ahli keluarga berusia antara 18 hingga 49 tahun yang berada di dalam rumah ketika kejadian berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Operasi pemadaman melibatkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, dibantu BBP Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.41 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.02 pagi.
Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dan satu pancutan air dari tangki jentera untuk mengawal api.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran.
“Kediaman itu didiami enam ahli keluarga. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam,” katanya.