PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah tegas dengan memfailkan tuntutan sivil terhadap dua saluran Telegram, iaitu “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”, yang dikenal pasti menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan memudaratkan ketenteraman awam.
Tindakan undang-undang itu diambil susulan pelanggaran serius di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selepas kandungan yang disebarkan kedua-dua saluran itu didapati berpotensi menggugat keamanan negara dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan.
Menurut MCMC, pihak Telegram sebagai penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kelas [ASP(C)] telah gagal menangani aduan yang dikemukakan terhadap kandungan tersebut meskipun beberapa siri rundingan dan permintaan kerjasama telah dibuat.
Susulan itu, MCMC memohon dan berjaya mendapatkan perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi, bagi menghentikan penyebaran kandungan tersebut serta menghalang penerbitan semula kandungan serupa pada masa hadapan.
“Tindakan ini merupakan langkah terakhir bagi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus terpelihara,” ujar MCMC dalam satu kenyataan rasmi.
MCMC menjelaskan bahawa pihak Telegram akan diberikan peluang yang adil untuk membela diri di mahkamah, selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia.
Suruhanjaya itu juga mengingatkan bahawa semua platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di platform masing-masing.
“MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa terhadap mana-mana platform lain sekiranya didapati gagal mematuhi undang-undang,” tegas kenyataan itu lagi.
MCMC menegaskan komitmennya untuk memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, beretika dan mematuhi undang-undang.