KUANTAN: Seorang lelaki berusia 44 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 5.10 petang dan disedari seorang pelawat yang kebetulan berada di kawasan wad hospital terbabit.
“Pelawat itu segera memaklumkan kepada penyelia jururawat bertugas. Apabila jururawat turun ke tingkat bawah, mereka menemui mangsa dalam keadaan meniarap dengan kesan darah pada bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang dikenali sebagai duda berbangsa India itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Kecemasan oleh petugas perubatan, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Menurut siasatan awal, lelaki berkenaan baru sahaja ditahan di Wad 7B HTAA pagi tadi kerana mengalami masalah kekurangan garam dalam badan.
Bagaimanapun, semakan mendapati mangsa juga mempunyai rekod penyakit mental sejak 13 tahun lalu, termasuk pernah ditahan di Wad Psikiatri HTAA kerana halusinasi dan cubaan membunuh diri.
“Polis turut menemui sebuah kerusi plastik di balkoni wad, dipercayai digunakan oleh mangsa untuk memanjat sebelum jatuh,” kata Wan Mohd Zahari.
Polis Kuantan telah menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian bersama pasukan perubatan dan mengklasifikasikan insiden ini sebagai mati mengejut (SDR).
Mayat mangsa akan menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sementara itu, pihak hospital dijangka akan memperketatkan kawalan keselamatan di wad berkaitan, terutama melibatkan pesakit dengan risiko kesihatan mental.