SPRM Bongkar Penyelewengan NGO RM26 Juta, Dana Diguna Beli Rumah, Kereta, Kripto

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar satu lagi kes penyelewengan besar membabitkan dana orang ramai apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didapati menyeleweng kira-kira RM26 juta, termasuk untuk membeli barang kemas, kereta mewah, rumah, tanah dan mata wang kripto.

Kegiatan itu terbongkar susulan operasi khas Op Serantau yang dijalankan SPRM Selangor sejak Khamis lalu di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

Menurut sumber, lima individu utama termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan NGO terbabit telah ditahan dan direman selama tujuh hari.

Empat daripadanya akan direman sehingga Rabu, manakala seorang lagi sehingga Khamis ini.

Siasatan awal mendapati NGO terbabit menggunakan taktik serupa seperti kes penyelewengan melibatkan Aman Palestin, termasuk memindahkan wang derma ke akaun peribadi dan membeli pelbagai aset mewah.

Antara salah guna dana yang dikenal pasti adalah untuk membeli barang kemas, kereta, rumah, dan tanah; melabur dalam mata wang kripto: memberi pinjaman kepada kakitangan menggunakan dana pertubuhan dan menggelapkan lebihan wang projek pembinaan telaga di Syria.

Kegiatan tersebut dipercayai berlaku sejak 2015 hingga kini, membabitkan sumbangan yang bertujuan untuk misi kemanusiaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, pelbagai aset mewah bernilai lebih RM8 juta telah disita setakat ini.

Antara aset yang disita membabitkan barang kemas bernilai kira-kira RM100,000, wang tunai lebih RM1 juta, akaun kripto melibatkan nilai sekitar RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

SPRM juga telah membekukan 14 akaun bank melibatkan jumlah hampir RM5 juta bagi membantu siasatan lanjut.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah oleh penjawat awam atau agen, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, serta denda, jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles