SINTOK, — Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) hari ini mengumumkan penutupan rasmi Tabung Kilat Kemalangan yang dilancarkan bagi membantu mangsa nahas bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan MPP UUM, tabung tersebut berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM290,651.51, hasil keprihatinan luar biasa 18,927 penyumbang dari seluruh negara.
“MPP UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas solidariti yang luar biasa dan keprihatinan yang dizahirkan. Sumbangan ini mencerminkan semangat kebersamaan yang cukup luar biasa dalam saat duka dan mencabar,” menurut kenyataan itu.
Nahas tragis yang berlaku baru-baru ini mencetuskan gelombang simpati dari pelbagai lapisan masyarakat, mendorong pelancaran inisiatif Tabung Kilat oleh MPP UUM bagi menyalurkan bantuan segera kepada mangsa dan keluarga mereka.
Menurut MPP UUM lagi, tarikh penyerahan rasmi sumbangan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat selepas melalui proses kewangan dan tatacara saluran yang ditetapkan oleh pihak universiti.
“Semoga segala kebaikan ini menjadi asbab keberkatan buat kita bersama,” tambah kenyataan itu.
Inisiatif ini turut mendapat perhatian dan sokongan meluas di media sosial, dengan ramai memuji langkah proaktif pelajar UUM dalam menggerakkan solidariti nasional.