Fahmi Cabar Kerajaan Di Mahkamah: “Rakyat Tak Patut Takut Pada Kerajaan”

KUALA LUMPUR: Aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza menyatakan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa berhubung insiden sekatan perjalanan ke luar negara yang dialaminya baru-baru ini, meskipun polis menyatakan tiada sekatan rasmi dikenakan.

Dalam kenyataan tegas yang dimuat naik ke akaun media sosialnya, Fahmi menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan pihak berkuasa tampil bertanggungjawab atas kekeliruan yang menyebabkan beliau tidak dibenarkan menaiki penerbangan ke Singapura semalam.

“Rakyat tak patut takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat. Korang selalu suruh aku ‘gunakan saluran yang betul’, kan? Okay, kita jumpa di mahkamah,” katanya.

Fahmi menyifatkan kejadian itu sebagai satu pencabulan terhadap hak kebebasannya untuk bergerak, dan mendakwa tidak ada mana-mana pihak dalam kerajaan yang tampil bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

“Aku hanya rakyat biasa. Korang dah sekat, susahkan, dan rugikan masa dan duit aku, tapi kemudian cuci tangan, tak nak mengaku salah,” tambahnya.

Fahmi turut mempersoalkan kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh beberapa pihak kerajaan.

Beliau menyindir penjelasan rasmi kerajaan yang menurutnya sekadar saling menuding jari antara satu sama lain.

“Aku dah baca jawapan Anwar Ibrahim yang tuding jari pada polis, dan kenyataan polis yang tuding jari pula pada imigresen… Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambik tanggungjawab atas kesilapan korang,” katanya.

Kenyataan Fahmi itu hadir selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa tiada sebarang sekatan perjalanan dikenakan terhadap Fahmi.

Sebaliknya, menurut beliau, kejadian itu berlaku akibat kekeliruan dalam proses semakan imigresen di pintu keluar negara.

Razarudin menjelaskan nama Fahmi hanya berada dalam senarai pemantauan pergerakan sebagai sebahagian daripada prosedur dalaman pihak polis, bukan senarai hitam untuk tujuan sekatan rasmi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk menyemak isu sekatan keluar negara terhadap aktivis tersebut.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan penjelasan terperinci mengenai perkara itu.

“Kerajaan menjunjung tinggi kebebasan individu, selagi ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan PMO.

BBerkaitan

Latest articles