PUTRAJAYA: Kira-kira 5,000 kakitangan kontrak Petronas terkesan dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan perkara itu dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
“Ramai yang kontrak (ditamatkan perkhidmatan), dan kita akan keluarkan kenyataan nanti,” katanya ringkas kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Jalan Pinggiran Putra, hari ini.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, mendedahkan bahawa penstrukturan semula yang sedang dilaksanakan menyaksikan pengurangan 10 peratus tenaga kerja.
Ini dilakukan sebagai langkah menyesuaikan operasi dengan tekanan semasa industri minyak dan gas global yang tidak stabil.
“Keadaan keseluruhan industri tidak begitu baik, jadi tindakan ini perlu demi kelangsungan jangka panjang syarikat,” ujar beliau sebelum ini.
Pemberhentian ini membabitkan jawatan kontrak, yang menurut pemerhati industri, merupakan kumpulan paling terdedah dalam situasi ekonomi tidak menentu.
Namun, masih belum jelas sama ada sebahagian daripada mereka akan ditawarkan semula peranan lain atau diberi pampasan sewajarnya.
Pelbagai pihak termasuk kesatuan pekerja dan ahli ekonomi kini mendesak agar kerajaan turun campur untuk memastikan kebajikan kakitangan terjejas tidak diabaikan.