KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan, berkaitan isu kekebalan daripada tindakan saman sivil.
Peguam beliau, Datuk Seri K. Rajasegaran memaklumkan bahawa notis rayuan akan difailkan hari ini, bersama sijil perakuan segera bagi mempercepatkan proses di Mahkamah Rayuan.
“Kami tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana ia memberi kesan terhadap fungsi eksekutif Perdana Menteri dan kedudukan institusi tinggi negara,” kata Rajasegaran kepada media selepas prosiding.
Menurutnya, lapan persoalan undang-undang itu menyentuh isu perlembagaan yang serius, melibatkan tafsiran Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan — khususnya sama ada seorang Perdana Menteri mempunyai kekebalan bersyarat daripada tindakan saman semasa menjalankan tugas rasmi.
“Isu ini bukan bersifat akademik atau abstrak. Ia perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana menyentuh prinsip pengasingan kuasa dan maruah jawatan Perdana Menteri,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar dan menetapkan perbicaraan kes saman sivil oleh bekas penyelidiknya, Muhammad Yusoff Rawther, untuk berlangsung selama tujuh hari bermula 16 Jun hingga 25 Jun ini.
Anwar turut akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan lisan beliau untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.
Saman itu difailkan oleh Muhammad Yusoff pada tahun 2021, yang mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh Anwar di kediaman pemimpin itu pada Oktober 2018 sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.