PETALING JAYA: Pendakwaan dalam kes kematian Zayn Rayyan Abdul Matin mendakwa ibunya, Ismanira Abdul Manaf, telah mengabaikan anak autistik itu apabila membiarkan mangsa berlari sendirian ke arah kebun belakang rumah sebelum membuat laporan polis tentang kehilangannya.
Menurut hujahan bertulis setebal 46 muka surat bertarikh 23 Mei lalu, Ismanira didakwa tidak menunjukkan reaksi panik, tidak menjerit memanggil anaknya, malah terus menaiki tangga dan menghantar barang ke rumah serta menukar pakaian sebelum turun semula.
Pendakwaan menyatakan bukti pengabaian itu disokong oleh dua saksi kanak-kanak yang melihat Zayn Rayyan berlari sendirian serta rakaman CCTV yang menunjukkan ibu mangsa bergerak seorang diri tanpa usaha mencari.
Zayn Rayyan, 6 tahun, ditemukan mati di aliran sungai berhampiran kediamannya di Damansara Damai pada 6 Disember 2023 dalam keadaan kaki bengkok dan badan mengiring.
Pendakwaan turut berhujah, ibu bapa kepada kanak-kanak autisme seharusnya memberi perhatian lebih dan pengabaian tersebut membuka ruang kepada kecederaan fizikal ke atas mangsa.
Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, niat mencederakan bukan elemen utama, sebaliknya pendedahan kepada risiko kecederaan sudah memadai untuk sabitan.
Pendakwaan memohon mahkamah memanggil pasangan suami isteri itu untuk membela diri.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh menetapkan 21 Julai ini untuk keputusan sama ada kedua-dua tertuduh akan dipanggil membela diri.
Pasangan tersebut sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan antara 5 dan 6 Disember 2023, dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 jika disabitkan.