Malaysia Beri Penerangan Kepada Delegasi EU Berkenaan Minyak Sawit Lestari, Pertanian Mampan

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi penerangan terperinci kepada delegasi Kesatuan Eropah (EU) mengenai amalan minyak sawit mampan negara apabila mereka dijadualkan melawat negara ini antara September dan Oktober.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani, berkata lawatan itu penting untuk membolehkan EU menyaksikan sendiri pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan sistem kebolehkesanannya.

“Saya menunggu kedatangan mereka supaya mereka dapat melihat sendiri bagaimana kita laksanakan amalan mampan,” katanya selepas melancarkan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia, semalam.

Kenyataan itu susulan keputusan Suruhanjaya Eropah (EC) meletakkan Malaysia di bawah kategori ‘risiko standard’ menerusi Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR) iaitu satu tindakan yang dikhuatiri akan menjejaskan pekebun kecil, meskipun 85% daripada mereka sudah mematuhi piawaian MSPO.

Johari turut menegaskan usaha Malaysia memperkukuh amalan pertanian mampan, termasuk dalam sektor koko, dengan pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan koko rendah karbon selaras dengan komitmen terhadap sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050, pengurangan 30% pelepasan metana menjelang 2030 dan pengekalan sekurang-kurangnya 50% litupan hutan (kini mencecah 54%).

“Tiada lagi penebangan hutan. Kita perlu maksimumkan tanah yang sedia ada dan amalan mampan akan beri hasil lebih baik untuk petani,” tegas beliau.

Malaysia kekal dalam senarai lima negara pengisar koko utama dunia, dengan pemprosesan tahunan sebanyak 370,000 tan biji koko.

Eksport koko juga melonjak 29% kepada 690,000 tan pada 2024, bernilai RM15 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Untuk menangani kekurangan koko global, Lembaga Koko Malaysia giat menghidupkan semula industri penanaman.

Tahun ini, pengeluaran biji koko tempatan meningkat 65% kepada 445 tan.

Johari berkata tumpuan kini diberikan kepada penanaman varieti koko premium seperti koko berperisa halus, organik dan berasaskan lokasi tunggal (single-origin), bagi memenuhi permintaan pasaran global terhadap produk berkualiti dan sihat.

“Langkah ini akan menaikkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai koko dunia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles