KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada sebarang transaksi kewangan dikesan dalam akaun bank milik Datin Seri Pamela Ling Yueh sejak beliau dilaporkan hilang pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pemantauan terhadap akaun wanita berusia 42 tahun itu tidak menunjukkan sebarang pergerakan wang keluar atau masuk sejak kehilangannya.
“Setakat ini kita lihat tiada transaksi berlaku dalam akaun bank beliau,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Media 2025 di Bukit Aman, hari ini.
Mengulas dakwaan bahawa Pamela memohon kerakyatan di negara lain, Rusdi menjelaskan ia merupakan urusan peribadi dan tidak dapat disahkan pihak polis setakat ini.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki perkhidmatan e-hailing.
Kehilangannya dilaporkan kepada polis pada petang hari yang sama.
Beliau sebelum itu dijadualkan memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan berkaitan pengubahan wang haram melibatkan dirinya dan suami, seorang ahli perniagaan dari Sarawak.
Rusdi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan penculikan atau melarikan orang dengan niat mengurung secara salah.
Setakat ini, beberapa saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk pegawai SPRM, peguam mangsa serta pemandu e-hailing yang terlibat dalam perjalanan terakhir Pamela.










