KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada unsur politik dalam siasatan kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil siasatan dan keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menunjukkan sebarang kaitan politik.
“Sehingga kini, kita tidak nampak siasatan ini menjurus kepada penglibatan politik,” katanya pada sidang media sempena Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara bersama media di Bukit Aman hari ini.
Menurut Rusdi, sebanyak 47 keterangan telah diambil termasuk daripada empat individu di Singapura, antaranya anak kepada Pamela.
Polis juga sedang menyiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan berkaitan penculikan.
Mengulas penolakan permohonan reman terhadap suami Pamela, beliau berkata mahkamah berpendapat suspek boleh dipanggil bila-bila masa dan memberi jaminan untuk bekerjasama.
Pamela, 42, yang dijadualkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes pengubahan wang haram, dilaporkan hilang pada hari yang sama.
Siasatan masih berjalan dan polis telah merakam keterangan pelbagai pihak termasuk pegawai SPRM, peguam serta pemandu e-hailing.










