KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaannya untuk mengadakan rundingan terbuka dengan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan termasuk parti-parti tempatan Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan awal antara BN dan Pakatan Harapan (PH) telah pun bermula dan proses agihan kerusi dijangka dimuktamadkan sejurus selepas pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Kita amat hormati kerjasama antara BN dan PH dan kita juga telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang akan ditandingi. Perbincangan untuk memuktamadkannya akan diteruskan,” kata Timbalan Perdana Menteri itu.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan bahawa BN turut terbuka untuk menerima permintaan atau cadangan kerusi daripada rakan sekutu termasuk parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun ia perlu melalui proses rundingan bersama.
“Perbincangan ini penting untuk elak pertindihan kerusi yang boleh melemahkan kekuatan gabungan kita. Kita mahu tampil dengan satu pasukan yang mantap bagi menghadapi PRN kali ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kompleks Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Kampung Bukit Senggeh, semalam.
Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, dan dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum ini dilaporkan menuntut sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi parti itu dalam PRN Sabah akan datang.
Mengulas perkara tersebut, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa perbincangan mengenai agihan kerusi telah pun bermula dan tumpuan utama ketika ini adalah menyelaraskan kawasan yang dimenangi BN pada PRN lalu dengan kehendak semasa gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Kita cari titik persetujuan yang adil untuk semua pihak,” tambahnya ringkas.
PRN Sabah ke-17 dijangka menjadi medan penting bagi mengukur kekuatan sebenar Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, terutamanya dalam mengekalkan kestabilan politik pasca PRU15.