ASEAN Perlu Bertindak Kolektif Hadapi Perang Dagang, Krisis Iklim, Risiko AI

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu tampil lebih bersatu dan proaktif dalam menangani cabaran global seperti perang dagang Amerika Syarikat-China, perubahan iklim dan penyalahgunaan teknologi, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ketika berucap di Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Mohamad berkata konflik dagang AS-China telah mengganggu rantaian pengeluaran dan perdagangan global, sementara perubahan iklim serta kemajuan pesat teknologi, terutama kecerdasan buatan (AI) yang dilihat mencetuskan risiko baharu.

“Suhu dan paras laut terus meningkat, AI berkembang lebih pantas daripada kemampuan kerajaan untuk bertindak. ASEAN perlu tangani semua ini secara kolektif dan mendesak,” tegasnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa kadar penembusan internet yang tinggi di rantau ini menjadikan penduduk ASEAN terdedah kepada penyalahgunaan teknologi yang belum dikawal selia sepenuhnya.

Mohamad menyeru ASEAN memanfaatkan sidang kemuncak kali ini untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau, mengurangkan jurang pendapatan antara negara anggota, dan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN.

“Kita mesti bersatu dan memperluas kerjasama dengan rakan luar untuk mengurangkan impak kejutan ekonomi serta kekal berdaya tahan sebagai satu komuniti,” katanya.

Mohamad turut menekankan keperluan ASEAN membentuk strategi bersama dalam menangani cabaran mendatang, sambil mengekalkan perpaduan dan autonomi strategik.

BBerkaitan

Latest articles