KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga dekad memperjuangkan agenda reformasi, Datuk Seri Rafizi Ramli menerima kekalahannya dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR dengan hati terbuka dan rasa lega.
Dalam kenyataan pertama beliau selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, Rafizi menegaskan bahawa perjuangannya tidak terhenti di sini, malah kekalahan itu membebaskannya dari “sandiwara kuasa dan politik kelas atasan”.
“Saya tidak kecewa. Saya agak lega kerana boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan dari sandiwara kuasa,” tulisnya di media sosial.
Rafizi turut mengimbas semula perjalanan panjangnya dalam gerakan reformasi, sejak zaman awal Kempen Bebaskan Anwar hinggalah menjadi antara arkitek utama kejayaan PRU14.
“Saya meninggalkan kerjaya korporat yang baik atas permintaan Anwar untuk menjadi Ketua Staf beliau di Selangor. Saya kekal dalam PKR lebih lama daripada ramai perintis,” jelas beliau.
Rafizi juga mengingatkan bahawa dirinya pernah memikul risiko besar, iaitu 16 kes mahkamah termasuk sabitan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) akibat pembongkaran skandal 1MDB.
“Mungkin saya habiskan lebih banyak masa di mahkamah berbanding peguam biasa,” selorohnya.
Walaupun kecewa dengan sistem pemilihan parti yang menurutnya masih banyak kelemahan termasuk isu pengundian digital dan ketelusan, Rafizi tidak menyalahkan sesiapa secara terbuka.
Sebaliknya, beliau mengajak ahli PKR dan penyokongnya untuk melihat lebih jauh dari kekalahan.
“Saya percaya keabsahan PKR melangkaui mana-mana individu, termasuk Anwar. Pemimpin datang dan pergi, tetapi idealisme tetap kekal.”
Beliau turut berjanji untuk meluangkan lebih banyak masa mendampingi rakyat dan menyambung kerja-kerja akar umbi yang telah lama menjadi nadi perjuangannya.
“Dengan lebih banyak masa yang ada, insya-Allah saya akan kembali bersama rakyat biasa. Saya bangga dengan ahli biasa PKR yang tetap mempertahankan idealisme ini walau tahu sistem tidak memihak kepada kita.”
Malag Rafizi penuh harapan, menyentuh perasaan dan mengajak penyokongnya untuk terus percaya pada perjuangan.
“Kepada mereka yang kecewa, kita mesti redha dengan ketetapan. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Cita-cita reformasi masih ada harapan.”