KUALA LUMPUR: Bersatu Terengganu menyatakan kesediaan menerima Datuk Seri Rafizi Ramli, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebagai ahli parti itu sekiranya beliau tewas dalam pemilihan parti yang akan berlangsung esok.
Pelawaan itu dibuat oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris, menerusi satu catatan ringkas di laman Facebook beliau hari ini.
“Insya-Allah, kita boleh pertimbang kalau Saudara Rafizi berminat HIJRAH untuk menjadi Ahli Bersatu Terengganu,” tulisnya ringkas.
Meskipun tiada butiran lanjut diberikan, pelawaan itu dipercayai merujuk kepada kemungkinan kekalahan Rafizi dalam saingan jawatan nombor dua PKR menentang Nurul Izzah Anwar, yang juga anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelawaan tersebut bagaimanapun menerima reaksi bercampur daripada netizen.
Pemilihan PKR 2025–2028 yang akan berlangsung di Johor Bahru esok bakal menyaksikan Rafizi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden menentang Nurul Izzah dalam saingan yang dilihat sengit.
Sebelum ini, Rafizi menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan Menteri Ekonomi jika kalah dalam pemilihan sebagai tanda menghormati mandat akar umbi, namun menegaskan akan kekal sebagai Ahli Parlimen Pandan.
Menariknya, Rafizi turut mendedahkan bahawa beliau pernah menerima tawaran untuk menyertai PAS, namun tawaran itu tidak kesampaian apabila Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki, menyifatkan beliau tidak sesuai menyertai parti Islam itu.
“Rafizi tidak menepati ciri-ciri perjuangan dan kelayakan yang dituntut oleh PAS,” tegas Zuhdi sebelum ini.