KUALA LUMPUR: Polis Kelantan menahan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kejadian kejam menyimbah asid terhadap seorang pengusaha spa wanita di Bachok, Sabtu lalu, yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan dalam satu operasi khas di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai, sekitar jam 4 petang semalam.
“Suspek bekerja di sebuah kilang getah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari Harian Metro.
Menurutnya, tangkapan dibuat hasil kerjasama antara Bahagian Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi, telefon bimbit dan alat kawalan kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.
Suspek dijangka direman pagi ini di Mahkamah Majistret Bachok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika disabitkan.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, seorang wanita berusia 27 tahun yang juga pemilik sebuah spa di Bachok dilaporkan cedera parah selepas disimbah asid oleh tiga individu di premis miliknya.
Motif serangan masih dalam siasatan.
Polis kini giat memburu dua lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Mohd Yusoff turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Bachok atau balai polis berhampiran.